Aplikasi Multimedia

Bicara Pengetua Amanat 2010

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
& salam sejahtera;

Selamat kembali bertugas kepada semua guru dan staf sokongan SMK Pasir Gudang (2) dan selamat datang kepada warga baru SMK Pasir Gudang (2) ke sesi persekolahan tahun 2010.

Kita akan meredah ”waktu sukar” sesi persekolahan 2010 sebagai salah satu cabaran dalam pengurusan pendidikan semasa. Keperluan peningkatan prestasi akademik, kokurikulum dan disiplin tahap tinggi, dan kekangan pelbagai sumber, termasuk pengurangan peruntukan untuk sesi 2010 mendorong kita menjadikan pernyataan ”Ranjau Diredah Peluang Dikerah” sebagai slogan untuk bertindak lebih bijaksana dan berhemah supaya kita tidak kewalahan dan ketinggalan dalam mengharungi arus perdana pendidikan negara.

Peranan dan pertanggungjawaban merealisasikan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan kini turut diperkukuh dengan kewajiban melaksanakan SKPM, SPSK, MBMMBI dan pengenalan kepada NKRA dan KPI. Gagasan Top 5 (JPNJ) masih belum tercapai di peringkat peperiksaan PMR dan SPM, sementara prestasi di peringkat sekolah kita sendiri juga belum mencapai ETR yang disasarkan. Dengan demikian, sensitiviti, fokus dan komitmen tinggi dalam memperkasakan pelaksanaan ”program Headcount” dan audit akademik amat dituntut daripada kita semua, di samping meneruskan kelangsungan agenda-agenda lain yang juga memerlukan penglibatan menyeluruh kita semua.

Apa-apa pun yang dirancang dan dilaksanakan perlu mengambilkira faktor impak dan ’outcome’nya. Di samping melihat setiap masalah sebagai peluang dan mendepaninya dengan bersungguh-sungguh, kita juga perlu mncipta dan mengusahakan sebanyak mungkin peluang untuk menghidupi ”survival” mencapai visi dan misi kita bersama. Kita perlu menginsafi bahawa kemenjadian murid sebagai modal insan berminda kelas pertama menerusi kecemerlangan pendidikan di peringkat sekolah merupakan hak mereka yang mesti kita pelihara dan tunaikan, dan di sinilah nilai profesionalisme, integriti serta akauntabiliti kita menjadi pertaruhannya.

Tugas itu amanah untuk dituntaskan. Tanggungjawab itu hutang untuk dilunasi. Kesemuanya memerlukan sentuhan kreativiti dan inovasi. Pesanan itu ingatan untuk diendahkan. Garis panduan itu sumber rujukan untuk dipatuhi. Apa-apa pun alasannya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Hormati kepatuhan, keteraturan dan kepedulian. Kegagalan kita memahami, menghayati dan melaksanakan fungsi kehadiran kita di dalam profesion keguruan ini sesungguhnya mendatangkan kerugian besar kepada negara.

Semoga kita perihatin dengan ekspektasi tinggi yang diletakkan kepada kita dan menginsafi betapa kehadiran kita yang berkesan amat diperlukan di sekolah ini. Sesungguhnyalah masa depan organisasi dan anak didik kita turut bergantung kepada transformasi kecemerlangan sentuhan keperkasaan dan kewibawaan insan guru dalam diri kita sendiri.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MOTTO SEKOLAH


:: KERJA SEPASUKAN MERAIH KECEMERLANGAN ::
 

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.