Aplikasi Multimedia

Merenung Erti Kemerdekaan


Sinonim dengan bulan kemerdekaan, Ogos dijadikan sebagai isu untuk dikaitkan dengan pelbagai sensitiviti yang melibatkan patriotisma seseorang. Kebiasaaan juga Ogos adalah bulan bagi ahli-ahli politik mencanang serta melaungkan rasa kecintaan terhadap negara serta tidak lupa manusia yang bergelar rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi menyatakannya.
Persoalannya, apakah mereka memahami nilai sebenar erti kemerdekaan seperti mana yang mereka sering ungkapan ketika tiba bulan kemerdekaan negara?
Mungkin ramai orang diluar sana tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenarnya. Merdeka yang ringkas difahami oleh kebanyakkan rakyat Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah.
Di dalam konteks ini, kita sedari bahawa negara Malaysia sememangnya bebas dari penjajah tetapi kita lupa bahawa sedikit demi sedikit minda kita ditarah serta dihakis dari menjiwainya.
Keaslian dan ketulenan kemerdekaan serta pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin juga perwira negara dahulu dicemarkan oleh minda yang lupa asal-usulnya.
Minda yang dikatakan merdeka adalah minda yang bersih dari segala jajahan penyaluran informasi baik dari segi ikutan, budaya dan sosialnya. Sebaliknya apa yang berlaku di negara kita banyak menjurus ke arah ‘trend’ negara lain yang sememangnya lari dari konsep yang diamalkan di negara kita sebelum ini.
Sebagai contoh, generasi muda sekarang ini, lebih cenderung ke arah keseronokan semata-mata serta tidak menampakkan semangat patriotik yang sepatutnya ada pada setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia.
Mereka lebih berminat terhadap program hiburan semata-mata yang rata-rata menguntungkan sesetengah pihak sahaja dan terlalu mengasyikkan sehingga lupa bahawa ada sesetengah program itu melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya kita.
Di sini apa yang dapat dilihat, generasi muda kita leka disaluti dengan nikmat yang diperjuangkan oleh generasi yang terdahulu. Mereka ini juga lupa bagaimana negara kita dapat menikmati kemerdekaan pada hari ini.
Secara sedar atau tidak, kita dapat melihat dengan cara serta tahap pemikiran ada pada generasi sekarang ini. Memang tidak dapat dinafikan negara kita semakin maju dan kehadapan, syabas diucapkan, tetapi nilai murni serta keluhuran budi bahasa juga perlu selaras bersama kemajuan bagi menjana keutuhan moral kepada generasi muda sekarang yang perlu disemai kepada generasi sekarang.
Apa yang perlu ditekan serta diingati di sini adalah kita juga mempunyai sejarah yang perlu diingati dan dipelajari dari masa ke semasa supaya kita tidak dijajah semula.
Generasi sekarang perlu pandai menjana minda untuk menghadapi cabaran yang ada pada masa ini kerana pelbagai bentuk informasi dan cara sambutan kemerdekaan yang penulis rasa bertentangan dengan budaya kita sedang berlaku.
Apa yang lebih ditakuti adalah penjajahan minda yang kronik sedang menular di negara yang suatu masa dahulu juga adalah sebahagian daripada negara kita.
Jangan sampai kita terkena tempias negara jiran yang meraikan hari kemerdekaan dengan cara yang langsung tidak menunjukkan ciri-ciri kemerdekaan serta bagi penulis tidak bertamadun. Sebagai contoh sambutan kemerdekaan tahun lepas yang dilakukan oleh negara yang dikenali Temasik suatu masa dahulu.
Dalam usaha mengejar serta ingin menarik perhatian dunia mereka sanggup menggadai maruah dengan menganjurkan festival homoseksual yang amat bertentangan dengan budaya dan sosial alam.
Dari sebuah negara maju yang juga terkenal dengan amalan ‘Kiasu’, kini berubah menjadi bandar yang rakus dan dipenuhi hedonis. Persoalannya, adakah ini yang dikatakan minda yang merdeka?.
Penulis percaya jika gejala seperti ini sudah bertapak dan mula diterima pakai oleh manusia, maka tidak hairanlah Malaysia akan menjadi salah satu destinasinya.
Walaupun perkara ini sudah berlalu setahun yang lalu tetapi perlu diingatkan dan ditegaskan bahawa tidak mustahil perkara sedemikian akan berulang semula.
Di dalam bulan kemerdekaan ini marilah kita bersama-sama bersatu dalam pelbagai bentuk tidak kira dari segi mental dan fizikal.
Percayalah kemajuan datangnya dari rakyat yang bersatu dan perpecahan pendorong kemunduran dan kemerosotan sesuatu negara. Bak kata pepatah “Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh”.
Oleh itu, kita semua perlu memperkemaskan diri serta minda dalam menghadapi cabaran global yang tidak bersempadan serta memperkukuhkan tonggak jati diri supaya erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati justeru maruah negara Malaysia dapat dipelihara.


Rencana dipetik dari laman web http://www.pemudaumno.org.my/

Selamat Bercuti dan Selamat Kembali ke sekolah

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA
kepada semua warga SMKPG2, blogmaster ingin mengucapkan

SELAMAT BERCUTI!!!!
DAN jangan lupa untuk kembali bertugas dan bersekolah pada 1 Sept ni tau.. Bawa semangat baru... jati diri yang baru... azam baru... dan yang penting MINDA YANG BARU agar dapat menjalankan tanggungjawab kita dengan sempurna. Jangan jadikan PUASA sebagai alasan untuk kita bertangguh kerja atau belajar sambil lewa. Sepatutnya di bulan yang mulia inilah kita dapat mengurangkan tekanan dan menambah motivasi dalam diri.



SO WARGA SMKPG2... SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH..

Majlis Penyerahan Watikah Pengawas Sesi 2009-2010

Pada perhimpunan hari ini (17 Ogos 2009), telah dilaksanakan satu lagi majlis yang bersejarah iaitu penyerahan watikah pelantikan pengawas sesi pagi bagi tahun 2009-2010. Majlis ini dipengerusikan oleh Ketua Guru Pengawas sesi pagi iaitu Pn Hazlinda bt Hamzah dan disempurnakan oleh Tuan Pengetua, En Abd Wahid bin Yahyin diiringi oleh Pn Nihayatun bt Razali selaku Guru Hal Ehwal Pelajar, SMKPG2. Di dalam majlis ini, seramai 25 orang pengawas tingkatan empat telah dilantik dan melafazkan ikrar pengawas setelah melalui sesi percubaan selama 3 minggu. Majlis melafazkan ikrar ini diketuai oleh Ketua Pengawas SMKPG2, saudara Farhan NurAkmal. Apa yang diharapkan agar semua pengawas yang dilantik ini dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik serta memberikan imej terbaik kepada Lembaga Pengawas SMKPG2. Semoga amanah yang telah diberikan oleh pihak sekolah dapat dipikul dengan jujur dan dilaksanakan dengan adil serta saksama. Tahniah..


Lagu SMKPG2

Berketrampilan Berwawasan
itulah cogankata
Di Sekolah Menengah Pasir Gudang 2

Berdisiplin.. Berusaha meningkatkan diri
Menuju wawasan negara tercinta
Nilai yang murni jadi amalan
Hidup kita semua
Jadi bekalan hidup bahagia
Agar aman sentosa


Berketrampilan Berwawasan
itulah cogankata
Di Sekolah Menengah Pasir Gudang 2
Berdisiplin.. Berusaha meningkatkan diri
Menuju wawasan negara tercinta

Nilai yang murni jadi amalan
Hidup kita semua
Jadi bekalan hidup bahagia
Agar aman sentosa
SMKPG2 CEMERLANG.. GEMILANG.. TERBILANG..

SMKPG2 belum hilang taring...

Bermula dari 3 Ogos 2009 hingga 12 Ogos 2009 telah diadakan Perlawanan Bola Sepak Peringkat Daerah Pasir Gudang 2009 Bawah 14 Tahun. SMKPG2 telah mengambil bahagian dan berjaya memenangi tempat ke-3 bagi keseluruhan perlawanan tersebut. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan bagi yang tidak berjaya, cuba lagi tahun hadapan.

Pihak sekolah mengucapkan tahniah dan sangat berbesar hati di atas pencapaian team bola sepak sekolah. Begitu juga dengan guru penasihat Kelab Bola Sepak SMKPG2, En Rashid Seleman yang sentiasa komited membimbing pasukan sekolah hingga ke peringkat sekarang.
Syabas dan Tahniah!!
Berikut adalah keputusan perlawanan:-
...Lihat foto-foto kemeriahan sepanjang perlawanan berlangsung...


Hari Manifesto MPPU

Hari Manifesto Majlis Perwakilan Pelajar Pra U telah diadakan pada 14 Ogos 2009 berlangsung dengan meriah dan hangat di Makmal Komputer SMKPG2. Seramai 16 orang wakil telah bertanding bagi merebut jawatan tertinggi dan exco perwakilan pelajar Pra U SMKPG2 sesi 2009-2010. Calon dikategorikan mengikut jurusan masing-masing iaitu Jurusan Perakaunan, Jurusan Bahasa, Jurusan Pengajian Perniagaan dan Jurusan Syariah. Hari Manifesto MPPU ini dijalankan dengan aktiviti berkempen bagi setiap wakil untuk meraih undi. Calon-calon akan menyampaian manifesto masing-masing bagi memastikan ia dapat memancing undi dari semua pelajar Pra U. Majlis ini dirasmikan oleh Tuan Pengetua SMKPG2 En Abdul Wahid bin Yahyin dan dihadiri oleh para pentadbir, tenaga pengajar Pra U dan semua pelajar-pelajar Pra U 1 dan 2. Pengundian akan dijalankan pada hari Rabu, 19 Ogos 2009. Keputusan pilihanraya juga akan diumumkan pada Khamis 20 Ogos 2009.




Selamat Berkempen buat semua calon. Semoga manifesto anda dapat diterima dengan baik oleh
semua. Dah menang nanti, jangan lupa janji!! Good Luck.


Calon sedang membentangkan manifesto masing-masing


Penolong Kanan Pra U bersama pengetua dan pentadbir

Rakan-rakan yang memberi sokongan.

Sehari Bersama Amar




Pada 12 Ogos 2009 telah berlangsung satu program Sehari Bersama Amar yang telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Pasir Gudang 2. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi motivasi tentang pembelajaran serta berunsurkan hiburan ilmiah. Program ini julung-julung kali diadakan dan telah berjaya menarik minat lebih separuh dari warga pelajar SMK Pasir Gudang 2 untuk mengikutinya. Program ini juga memberi pendedahan tentang bagaimana mengatasi masalah komunikasi, membina keyakinan diri pelajar serta panduan belajar dengan cara yang betul mengikut islam. Secara ringkasnya, Amar merupakan artis nasyid terkenal yang memperjuangkan irama nasyid kontemporari. Beliau juga membuka syarikat konsultansi yang memberikan khidmat ceramah, motivasi dan bimbingan terutama kepada pelajar-pelajar sekolah dan IPTA. Antara aktiviti yang dijalankan di dalam program ini ialah pertunjukan silap mata, nyanyian bersama Amar dan diselang selikan dengan ceramah motivasi. Turut serta dalam progam ini ialah peserta dari sekolah-sekolah berhampiran seperti SMK Kota Masai dan lain-lain.




Semoga program-program seperti ini dapat dipertingkatkan agar pelajar SMK Pasir Gudang 2 akan sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk memperbaiki diri.

Selamat Berjaya!

Pertandingan Hiasan Orkid dan Bonsai Antarabangsa Johor Bahru 2009

Pada 4 Ogos 2009 yang lalu, SMKPG2 telah menyertai Pertandingan Hiasan Orkid dan Bonsai Peringkat Antarabangsa yang diadakan di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru. Tiga orang pelajar iaitu Ainie binti Hussin, Nor Arinah binti Mad Yassin dan Zuraidah binti Hashim dari kelas 5 Animasi bersama guru pembimbing Pn Nor Liana Aniza binti Zaini telah dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan ini. Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Lanskap Negeri Johor dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Johor (JOTIC). Pertandingan ini dianjurkan bersempena Pesta Pameran Orkid dan Bonsai Antarabangsa Negeri Johor 2009. Pameran tahunan ini disertai oleh pelbagai organisasi kerajaan, bukan kerajaan, majlis pembandaran serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi setiap daerah di Johor. Antara yang mengambil bahagian dalam pameran ini ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Daerah Pontian, Majlis Daerah Batu Pahat, Majlis Daerah Kluang dan sebagainya. Pertandingan yang berlangsung adalah pertandingan hiasan orkid peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). SMKPG2 telah mengambil bahagian dalam pertandingan hiasan orkid peringkat sekolah menengah dan berjaya mendapat hadiah saguhati. Persaingan sengit dari segi kreativiti dalam menghasilkan lanskap orkid memang sangat ketara dalam pertandingan ini. Terdapat hampir 20 buah sekolah yang mengambil bahagian. Banyak sekolah yang berjaya menghasilkan hiasan lanskap orkid yang menarik dan kreatif. Hadiah kepada pemenang telah diadakan pada Majlis Perasmian Pameran Orkid Antarabangsa Negeri Johor pada 6 Ogos 2009 oleh Menteri Besar Johor.
Syabas diucapkan kepada sekolah yang berjaya!!

Lihat kemeriahan peserta dari sekolah-sekolah yang mengambil bahagian..


Kenali Logo SMKPG2

WARNA




MERAH

Keberanian dan kegigihan menghadapi cabaran



HIJAU

Kemakmuran negara menjana usaha membangunkan jati diri rakyat


KUNING
Penghormatan dan ketaatsetiaan pada raja dan Negara dan kepatuhan pada undang-undangnya
PUTIH
Keikhlasan dan kejujuran niat serta kemurnian budi bahasa
IMEJ BUKU
Penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang menjadi keutamaan warga sekolah ke arah melahirkan generasi berilmu dan bermaklumat
IMEJ BULATAN
Kebulatan tekad dan semangat ke arah masa depan Negara yang aman, damai dan makmur
IMEJ KELOPAK
Mawar merah kesepaduan upaya seluruh warga sekolah dari pelbagai kaum ke arah mewujudkan masyarakat harmonis dan bersatu padu
IMEJ KELOPAK MATA
Sentiasa berpandangan jauh ke arah pencapaian visi dan misi sekolah yang didukung secara bersama demi membina Negara maju selaras dengan aspirasi Wawasan 2020.
IMEJ RODA INDUSTRI
Kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi menjana aspirasi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang industri.

MOTTO SEKOLAH


:: KERJA SEPASUKAN MERAIH KECEMERLANGAN ::
 

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.